Thursday, December 9, 2010

SAJAK

Ramadhan Dan Malam Al-Qadr


..........Ramadhan

Engkau hadir lagi

persis seorang kekasih

membawa haruman kasturi

mewangi dalam rasa iman

untuk yang menginsafi

Ramadhan tuntutan Ar-Rahman


……….Ramadhan

Engkau datang lagi

bagaikan ribut pasir padang Sahara

menghambur debu-debu keperitan

membahang rasa segala sukar

untuk yang mengengkari

Ramadhan perintah Al-Jabbar


……….Ramadhan

Apapun hadirmu

Aku tetap mengharapkan malam yang satu

Malam puncak

Malam Al-Qadr

Malam penuh rahmat

Malam penuh keampunan


…………

Ya Rabb…berikanlah aku peluang

menghidupkan malam ini

satu malam yang lebih baik

daripada seribu bulan


abanghutabangengkeh

10 Ogos 2010

29 Syaaban 14

Friday, October 2, 2009

SAJAK

Dialog Atuk Tua dan Cucunya

Dialog I

Pagi itu
ketika laungan merdeka memecah kesunyian kota
Penuh semangat seorang atuk tua bertanya kepada cucunya
Anak merdeka yang menjadi dewasa nun jauh di desa

”Cu...
kau kenal Tunku Abdul Rahman Putra?
kau kenal Tun Abdul Razak?
kau kenal Tun Hussein?
kau kenal Tun Mahathir?
kau kenal Pak Lah?”

Cucu atuk anak merdeka
mendengar memahami
Pertanyaan atuk tua dimengerti
Lalu jawabnya berani

Atuk...

cucu kenal mereka semua
Wira bangsa pemimpin ternama
negara berdaulat merdeka

Tunku Abdul Rahman Putra kerabat diraja
Meninggalkan kemegahan istana
Mencemarkan diri bersama rakyat jelata
Memperjuang sebuah negara merdeka
Dialah Bapa Kemerdekaan Negara

Tun Abdul Razak keturunan ternama
Bergelar Bapa Pembangunan Negara
Melalui DEB, dilahirkan Felda dan Felcra
Di tangannya nasib Melayu terbela
Tinggi budinya kepada masyarakat desa

Tun Hussein anak pejuang ternama
Bersemangat seperti bapanya
menentang Malayan Union kerana menafikan kuasa raja
Jasanya kepada bangsa tiada terkira
Lalu kita nobatkan Tun sebagai
Penyambung Warisan Yang Terbilang
dan Bapa Perpaduan Negara


Tun Mahathir...
siapa tak kenal dia
Che Det panggilan manja
ayahnya seorang guru besar cuma
Tetapi Tun Mahthir suaranya bergema seantero dunia
Dialah pencetus wawasan pemacu pembangunan
Jasanya tiada terbilang
Namun dia kecewa
kerana Melayu Selalu Lupa

Pak Lah,
cucu kenal benar siapa dia
Mewarisi kepimpinan ulama tersohor
Malaysia mesti Cemerlang, Gemilang, dan Terbilang
Itu Misinya
Islam Hadhari itu landasannya

Atuk tua teruja
Terbukti sudah
Cucunya anak negara merdeka


Dialog II

Petang itu
Ketika laungan merdeka kian sayup kedengaran
Seorang atuk tua bertanya kepada cucunya
Anak merdeka yang menjadi dewasa di tengah kotaraya

Cu..
Kau kenal Dato Sagor?
Kau kenal Abdul Rahman Limbong?
Kau kenal Datuk Bahaman?
Kau kenal Rosly Doby?
Kau kenal Datu Mat Salleh?

Cucu atuk anak merdeka
Mendengar memahami
jawapan mula dicari
Lalu katanya..
siapa mereka ini?

Atuk tua
jegil mata merah menyala
Marah kecewa
Kerana anak merdeka tidak kenal wira negara
Lalu atuk penuh semangat berkata
Kau dengar sini cucuku anak merdeka!
Dato Sagor itu wira bangsa
Di tangannya Birch mati menyembah bumi
Mana mungkin
kau anak merdeka tidak mengerti

Kau dengar sini cucuku anak merdeka!
Abdul Rahman Limbong itu ulama ternama
Mempimpin golongan tani
menyanggah peraturan Inggeris dalam negeri
kerana sanggahnya itu
dia dibuang negeri ke Mekah mulia
Mana mungkin
kau anak merdeka tidak tahu sejarahnya

Kau dengar sini cucuku anak merdeka
Rosli Dhobi pahlawan berhati waja
berkorban nyawa untuk kebebasan bangsa
menikam mati duncan stewart
ketika umurnya muda belia
Mana mungkin
kau anak merdeka tidak mengetahui ceritanya

Kau dengar sini cucuku anak merdeka
Datu Mat Salleh itu
Bukan pemberontak seperti yang mereka kata
Dia pejuang bangsa, waja semangatnya
Sayang di tangan penjajah darahnya tumpah ke tanah
Mana mungkin
kau anak merdeka tidak kenal siapa dia

Bersemangat atuk tua
Meriwayatkan sejarah
wira-wira bangsa yang kian dilupakan
generasi merdeka

Abang Hut
IABU, Ogos 2007

SAJAK

WARKAH KEPADA AMINUDDIN BAKI

Kepangkuan Aminuddin Baki,
Ku mulakan warkah ini dengan salam keramat, salam perjuangan kerana engkau adalah pejuang. Engkau pejuang bangsa, pejuang terbilang, pejuang ternama. Engkau perjuangkan pendidikan pribumi, Engkau perjuangkan kedaulatan bahasa bonda. Sayangnya, engkau dipanggil pulang dalam usia muda.

Aminuddin Baki pejuang ternama,
Sebut saja namamu, gah seantero dunia. Namamu tercatat dimana-mana. Semaklah dalam catatan di UNESCO, lihatlah dalam pangkalan data di ISESCO, namamu terpahat di situ. Tanyalah kepada Linda Lambert, tanyalah kepada Ann Kilcher, tanyalah kepada Micheal Fullan, tanyalah kepada para akademia dari King College atau tanya saja kepada kepala-kepala sekolah dari Medan. Mereka kenal nama ini, nama pejuang ternama Aminuddin Baki, tidak pernah terpisah dari arus perdana perjuangan meletakkan pendidikan negera ke taraf dunia.

Aminuddin Baki pejuang bangsa,
Perjuangan kita sebenarnya tidak pernah selesai dan tidak akan selesai kerana perjuangan adalah pengisian kepada zaman yang berubah. Justeru, engkau usah khuatir, meski engkau telah pergi meninggalkan kami, perjuanganmu tidak terhenti di sini! Percayalah pejuang terbilang, kamilah anak watan yang meneruskan perjuanganmu memperkasa pendidikan di tanah ini. Di dada ini, kami sematkan semangat perjuanganmu yang kental, teguh dan padu. Tidak akan luntur sampai bila-bila. Percayalah pejuang bangsa, akan kami lahirkan di sini lebih ramai pejuang pendidikan setaraf perjuanganmu.

Aminuddin Baki pejuang yang telah pergi,
Itulah semangat perjuangan kami yang sentiasa mekar membara. Namun hakikat perjuangan mesti ada cabaran. Begitulah perjuangan ini. Kami dicabar oleh kelemahan peribadi. Sifat-sifat mazmumah menguasai diri. Ada dalam kalangan kami tidak mahu berubah, masih ditakuk lama, kerjanya tidak seberapa. Ada dalam kalangan kami bijak mencari helah, beralasan menolak amanah. Ada dalam kalangan kami meski ilmunya hanya setitik air di lautan, tetapi mendabik dada, yang benar hanya dia, salah orang dicari sentiasa. Ada dalam kalangan kami pemburu pangkat dan kuasa, cantas sahaja setiap halangan yang ada. Ada dalam kalangan kami tak sedar diri, duduknya di bawah tetapi suaranya melangit tinggi. Ada dalam kalangan kami, dalam sejuk pendingin hawa masih mengipas orang di atas untuk sedikit keperluan peribadi.

Aminuddin Baki,
Warkahku berhenti di sini. Apapun yang telah kucoretkan adalah cetusan rasa bangga dan kecewa. Bangganya aku kerana dapat meneruskan perjuangan mu demi martabat pendidikan tanah ini. Kecewanya aku kerana dalam perjuangan yang suci ini masih ada dalam kalangan kami yang menjadi racun berbisa.

Sekian, salam perjuangan dariku

Abang Hut bin Abang Engkeh
Pensyarah Institut Aminuddin Baki
Kementerian Pelajaran Malaysia

11 Disember 2008