Friday, October 2, 2009

SAJAK

WARKAH KEPADA AMINUDDIN BAKI

Kepangkuan Aminuddin Baki,
Ku mulakan warkah ini dengan salam keramat, salam perjuangan kerana engkau adalah pejuang. Engkau pejuang bangsa, pejuang terbilang, pejuang ternama. Engkau perjuangkan pendidikan pribumi, Engkau perjuangkan kedaulatan bahasa bonda. Sayangnya, engkau dipanggil pulang dalam usia muda.

Aminuddin Baki pejuang ternama,
Sebut saja namamu, gah seantero dunia. Namamu tercatat dimana-mana. Semaklah dalam catatan di UNESCO, lihatlah dalam pangkalan data di ISESCO, namamu terpahat di situ. Tanyalah kepada Linda Lambert, tanyalah kepada Ann Kilcher, tanyalah kepada Micheal Fullan, tanyalah kepada para akademia dari King College atau tanya saja kepada kepala-kepala sekolah dari Medan. Mereka kenal nama ini, nama pejuang ternama Aminuddin Baki, tidak pernah terpisah dari arus perdana perjuangan meletakkan pendidikan negera ke taraf dunia.

Aminuddin Baki pejuang bangsa,
Perjuangan kita sebenarnya tidak pernah selesai dan tidak akan selesai kerana perjuangan adalah pengisian kepada zaman yang berubah. Justeru, engkau usah khuatir, meski engkau telah pergi meninggalkan kami, perjuanganmu tidak terhenti di sini! Percayalah pejuang terbilang, kamilah anak watan yang meneruskan perjuanganmu memperkasa pendidikan di tanah ini. Di dada ini, kami sematkan semangat perjuanganmu yang kental, teguh dan padu. Tidak akan luntur sampai bila-bila. Percayalah pejuang bangsa, akan kami lahirkan di sini lebih ramai pejuang pendidikan setaraf perjuanganmu.

Aminuddin Baki pejuang yang telah pergi,
Itulah semangat perjuangan kami yang sentiasa mekar membara. Namun hakikat perjuangan mesti ada cabaran. Begitulah perjuangan ini. Kami dicabar oleh kelemahan peribadi. Sifat-sifat mazmumah menguasai diri. Ada dalam kalangan kami tidak mahu berubah, masih ditakuk lama, kerjanya tidak seberapa. Ada dalam kalangan kami bijak mencari helah, beralasan menolak amanah. Ada dalam kalangan kami meski ilmunya hanya setitik air di lautan, tetapi mendabik dada, yang benar hanya dia, salah orang dicari sentiasa. Ada dalam kalangan kami pemburu pangkat dan kuasa, cantas sahaja setiap halangan yang ada. Ada dalam kalangan kami tak sedar diri, duduknya di bawah tetapi suaranya melangit tinggi. Ada dalam kalangan kami, dalam sejuk pendingin hawa masih mengipas orang di atas untuk sedikit keperluan peribadi.

Aminuddin Baki,
Warkahku berhenti di sini. Apapun yang telah kucoretkan adalah cetusan rasa bangga dan kecewa. Bangganya aku kerana dapat meneruskan perjuangan mu demi martabat pendidikan tanah ini. Kecewanya aku kerana dalam perjuangan yang suci ini masih ada dalam kalangan kami yang menjadi racun berbisa.

Sekian, salam perjuangan dariku

Abang Hut bin Abang Engkeh
Pensyarah Institut Aminuddin Baki
Kementerian Pelajaran Malaysia

11 Disember 2008

No comments:

Post a Comment